KOTA KINABALU, SABAH – Sepasang adik beradik lelaki rentung dalam kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Pulutan, Menggatal, sini, dalam tragedi kira-kira jam satu tengah hari tadi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Jackron Jabri, 6, dan Jayraiyen Jabri, 5, yang ditemui pasukan penyelamat.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, seramai 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.13 petang.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 400 kaki dan dua pancutan sumber air jentera.
“Kebakaran melibatkan enam buah rumah jenis tidak kekal iaitu empat buah rumah bersaiz 25x30kaki, sebuah rumah 25x40kaki dan sebuah rumah 25x60kaki.
“Semua rumah dilaporkan musnah terbakar 100 peratus. Mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya
Tambahnya, operasi terkawal pada jam 2.53 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.25 petang.