Mahkamah Tolak Permohonan DNAA, Sebutan Kes Albert Tei 28 Nov depan

Mahkamah Tolak Permohonan DNAA, Sebutan Kes Albert Tei 28 Nov depan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 November depan untuk sebutan pengurusan kes ahli perniagaan Datuk Albert Tei Jiann Cheing, selepas menolak permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang dikemukakan pasukan pembelaan.

Albert Tei gagal hadir ke mahkamah selepas mendakwa tidak dibenarkan masuk ke Sabah, dan peguamnya, Edward Paul, memohon DNAA atas alasan larangan kemasukan itu merupakan larangan sepenuhnya (total ban).

Namun, Hakim Jason Juga menolak permohonan tersebut dan mengarahkan supaya notis pendengaran dikeluarkan.

Mahkamah turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan boleh memohon agar tertuduh menghadiri prosiding akan datang melalui Zoom.

Selain itu, hakim turut mengarahkan pihak pendakwaan berurusan dengan Jabatan Imigresen bagi membolehkan tertuduh masuk ke Sabah untuk perbicaraan kes ini.

Pada 30 Jun lalu, Albert Tei mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua wakil rakyat berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Beliau didakwa memberi RM150,000 dan RM200,000 masing-masing kepada Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Andi Suryady Bandy, serta ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Kedua-dua ADUN berkenaan turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah tersebut.