
KOTA KINABALU, SABAH – Pembangunan sumber manusia menjadi fokus perjanjian persefahaman (MoU) di antara Sabah Skills and Technology Centre (SSTC) dengan Bayam Enterprise Sdn Bhd (BESB) dan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, perjanjian persefahaman dengan SSTC itu membolehkan BESB berkongsi pengetahuan dengan bakat tempatan.
“BESB merupakan syarikat pembekal tenaga sokongan dan produk petroleum yang ditubuhkan di Kelantan.
“Selain berkongsi pengetahuan, perjanjian ini dapat memberikan mereka kemahiran yang diperlukan untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri minyak dan gas.
“MoU ini juga memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran, pembangunan modul, menjalankan program Offshore Medic dan kerjasama dalam pembangunan sumber manusia untuk program Kitchen Offshore Catering,” katanya semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan Majlis Menandatangani MoU di sini, pada Jumaat.
SSTC turut menandatangani MoU dengan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd, pengeluar kaca solar yang mempunyai skala pengeluaran dan pembuatan kaca terbesar di Asia.
Menurut Ariffin, MoU berkenaan memfokuskan kerjasama dalam pembangunan sumber manusia untuk SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd.
SSTC diwakili Pengerusi Majlis Pengurusan SSTC, Datuk John Choo manakala BESB dan SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd masing-masing diwakili Pengurus Urusan Kumpulan, Azman Ismail dan dan Pengarah Urusan, Chen Guo.
“Manakala, MoU KSTI bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah inisiatif pembudayaan STI/STEM melibatkan quintuple helix pelajar peringkat rendah, menengah, pengajian tinggi dan masyarakat umum di Sabah,” ujarnya.
KSTI diwakili Setiausaha Tetapnya, Datuk Zainudin Aman manakala UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor.
Turut hadir, Pembantu Menteri KSTI, Datuk Harun Durabi. — JABATAN PENERANGAN SABAH