Polis Tawau Tahan 5 Orang Dalam Pondok Misteri Di Kebun Kelapa Sawit

Polis Tawau Tahan 5 Orang Dalam Pondok Misteri Di Kebun Kelapa Sawit

0
SHARE

TAWAU,SABAH – Polis Tawau berjaya menahan lima orang termasuk seorang wanita dan merampas dua senapang buatan sendiri berserta 7 butir peluru dalam serbuan di sebuah pondok papan di kebun kelapa sawit di kilometer 60, Jalan Tawau-Kunak pagi tadi.

Memetik kenyataan InfoBes Tawau, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supritendan Nor Azizulkifli Mansor dipetik berkata bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan serbuan di salah sebuah pondok papan sebelum menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 38 tahun kira-kira pukul 1.00 pagi tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut di pondok berkenaan, pihak polis menemui 2 laras bakakuk berukuran 40 inci bersama 7 butir peluru hidup dan 3 paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek seorang lelaki warga negara asing memiliki senjatapi dan tidak mempunyai lesen memiliki senjata api dan peluru.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Tawau bagi tujuan siasatan lanjut.

Hasil saringan ujian air kencing mendapati empat suspek yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine.

Kesemua suspek itu ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.