UDA Komited Perkasa Sektor Pendidikan Menerusi MoU Dengan KUBU

UDA Komited Perkasa Sektor Pendidikan Menerusi MoU Dengan KUBU

0
SHARE
Sesi Penyerahan MoU UDA dan NBUC

KOTA KINABALU: UDA Holdings Berhad (UDA) komited memperkasa sektor pendidikan dengan menyediakan peluang baharu dalam penyediaan latihan, pendidikan dan pengalaman industri kepada pelajar serta tenaga kerja Kolej Universiti Borneo Utara (KUBU) selain membantu meningkatkan kemahiran dan kebolehkerjaan dalam sektor penting seperti pembangunan hartanah, hospitaliti dan pengurusan fasiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, perkongsian strategik antara Insitiusi Pengajian Tinggi (IPT) dan industri seumpama ini juga dalam memberikan pemahaman yang lebih berkesan berhubung ‘trend’ dan amalan inudstri masa kini terutama dalam pembangunan hartanah serta pengurusan aset yang dilaksanakan oleh UDA.

“Dengan pengalaman yang melangkaui beberapa dekad, input ini boleh digunakan sebagai rujukan bagi mengukuhkan lagi pengetahuan industri kepada bakal graduan KUBU, serta berupaya menambah baik sukatan pelajaran dan perkongsian pengalaman antara kedua-dua pihak.

“UDA juga bersedia menawarkan latihan industri dan nasihat kepakaran kepada para pelajar dan pensyarah KUBU dalam bidang berkaitan tertakluk kepada terma dan syarat, agar dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Perkara ini juga memenuhi keperluan peningkatan kemahiran industri untuk generasi baharu dan akan datang.

“Saya berharap semoga memorandum persefahaman yang dimeterai antara NBUC dan UDA ini berupaya memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak serta memacu tenaga kerja agar selari dengan peningkatan berterusan dalam sektor pekerjaan yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, dan seterusnya menuju ke arah pemerkasaan Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) UDA dengan KUBU di sini, hari ini.

UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menandatangani MoU itu di Oxford Hall, KUBU.

Kenyataan itu turut berkata, usaha sama antara UDA dan KUBU juga selari penjenamaan UDA iaitu LIFE, akronim bagi ’Legasi (Legacy)’, ’Integrasi (Integrated)’, ’Ketelitian (Finesse)’ dan ’Memperkasa (Enrich)’ yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaan UDA.

Inisiatif ini juga bertepatan dengan matlamat ke arah Kelestarian UDA yang turut memfokuskan kepada peningkatan kemahiran modal insan dengan melahirkan graduan dan modal insan berdaya tahan serta sepadan dengan keperluan industri pada masa kini.