KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan Pembantu-Pembantu Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Politik Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu hari ini.
Majlis dimulakan dengan lafaz IBR oleh semua Pembantu Menteri dan Setiausaha Politik sebagai tanda komitmen memperkukuh integriti serta tadbir urus beramanah dalam pentadbiran negeri.
Sejurus itu, sesi menandatangani dokumen IBR dilaksanakan sebelum Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim masing-masing mewakili kumpulan berkenaan menyerahkan dokumen IBR kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.
Mohd Fuad yang turut menyaksikan majlis berkenaan kemudiannya menyampaikan taklimat khas dengan memberi penekanan kepada usaha pencegahan rasuah serta pemantapan budaya integriti dalam perkhidmatan awam.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Puan Dayang Noorashikhin Zulkefli serta Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri yang juga Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso.
Majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh amalan integriti dan memastikan pentadbiran yang telus, berakauntabiliti serta bebas rasuah demi kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah.






