Adira Suhaimi Lancar “Sayang Orang Sama”, Angkat Tema Keikhlasan dan Penerimaan

Adira Suhaimi Lancar “Sayang Orang Sama”, Angkat Tema Keikhlasan dan Penerimaan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Adira Suhaimi kembali memperkaya landskap muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul “Sayang Orang Sama”, sebuah karya balada kontemporari yang menyentuh tema keikhlasan, penerimaan dan keberanian untuk merelakan.

Diterbitkan oleh Nova Music Malaysia, lagu berkenaan merupakan hasil kolaborasi komposer Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala liriknya digarap bersama Dato’ Arisz Abdul Rahman JP.

Gabungan kreatif itu menampilkan karya sederhana namun sarat emosi, selari dengan kekuatan vokal Adira yang terkenal dengan penyampaian penuh rasa dan ketulusan.

Menurut Adira, “Sayang Orang Sama” bukan sekadar kisah cinta yang teruji, sebaliknya refleksi mendalam tentang memahami realiti perasaan apabila kasih tidak sepenuhnya dimiliki.

Katanya, lagu tersebut amat dekat dengan jiwanya kerana ia berbicara tentang penerimaan tanpa perlu mencari salah dan benar.

Beliau berkata, proses rakaman membuka ruang untuknya menyelami emosi secara lebih mendalam, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi sebagai individu yang semakin matang dalam menilai makna cinta dan kehidupan.

Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya dan tidak semua perasaan berakhir dengan penyesalan. Ada masanya kita belajar untuk melepaskan dengan tenang,” katanya.

Adira turut menyifatkan kekuatan lagu itu terletak pada kejujuran lirik yang menggambarkan realiti kehidupan, khususnya bagi mereka yang memilih untuk memendam rasa demi menjaga hati orang lain.

Katanya, karya tersebut menjadi suara kepada individu yang kelihatan kuat di luar namun rapuh di dalam.

Dalam pada itu, “Sayang Orang Sama” turut dipilih sebagai lagu runut bunyi bagi drama bersiri 30 episod, Khianat Yang Terpilih yang bakal bersiaran di slot ‘Akasia’ (7 malam hingga 8 malam) di TV3 bermula 26 Februari 2026.

Single berkenaan kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama, manakala muzik video rasmi akan ditayangkan menerusi saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 2 Mac 2026, jam 3 petang, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama berterusan Adira bersama Nova Music Malaysia.