KOTA KINABALU: Bidfood East Malaysia menganjurkan Jualan Madani 3.0 sebagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Program itu akan berlangsung pada 1 Mac 2026 di gudang syarikat di Kolombong, dari jam 8 pagi hingga 4 petang.
Sebanyak kira-kira 3,000 ekor ayam beku ditawarkan kepada orang ramai pada harga RM10 bagi dua ekor.
Selain itu, pelbagai produk sejuk beku lain turut dijual pada harga RM10 bagi membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga menjelang musim perayaan.
Pengarah Urusannya, Dr Tai berkata syarikat komited membantu golongan kurang bernasib baik dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Setiap orang seharusnya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan menyediakan juadah yang baik bersama insan tersayang.
“Kami berharap langkah menurunkan harga ini turut dicontohi perniagaan lain agar semua warga Sabah dapat menikmati sambutan Raya yang bermakna,” katanya.
Jualan itu akan dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah.
Bidcorp, syarikat induk Bidfood, merupakan antara pengedar makanan terbesar dunia, manakala Bidfood East Malaysia ialah pengimport utama daging halal, produk tenusu dan makanan sejuk beku di Sabah.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman Facebook rasmi Bidfood East Malaysia.






