KENAPA PARTI WARISAN BEGITU TAKUT KEPADA PERHIMPUNAN AMAN BANGKIT SABAHAN 2.0?

KENAPA PARTI WARISAN BEGITU TAKUT KEPADA PERHIMPUNAN AMAN BANGKIT SABAHAN 2.0?

0
SHARE

KOTA KINABALU – Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan mempersoalkan tindakan berterusan jentera Parti Warisan Sabah yang didakwa cuba menggagalkan penganjuran Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu.

Menurut Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan, tindakan tersebut amat menghairankan kerana perhimpunan berkenaan merupakan himpunan aman yang bertujuan menyampaikan suara rakyat, menyemarakkan semangat cintakan negeri Sabah serta dijamin oleh undang-undang.

Sekretariat menjelaskan bahawa antara pengisian utama perhimpunan ialah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung kes RM1.5 bilion yang pernah menggemparkan negara dan dikaitkan dengan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Perhimpunan ini dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan dan bukannya oleh Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Dakwaan tersebut adalah tidak tepat dan hanya mengelirukan masyarakat.

“Apa yang menghairankan ialah Parti Warisan sebelum ini menyokong pelbagai perhimpunan aman, termasuk demonstrasi yang mendesak SPRM mengambil tindakan terhadap beberapa wakil rakyat yang dikaitkan dengan skandal Albert Tei. Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan bukan sahaja menghormati hak mereka untuk berhimpun, malah mengalu-alukan perhimpunan tersebut.

“Kami juga berpendirian bahawa sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, mana-mana wakil rakyat yang terlibat hendaklah didakwa di mahkamah tanpa mengira parti politik.

“Namun apabila kami berhimpun secara aman bagi menyemarakkan semangat cintakan Sabah serta mendesak supaya siasatan kes RM1.5 bilion dibuka semula, kami pula diserang dengan pelbagai tuduhan dan usaha untuk menggagalkan perhimpunan ini.

“Mengapa wujud layanan yang berbeza? Mengapa demonstrasi yang menyasarkan pihak lain dianggap wajar dan disokong, tetapi apabila rakyat mahu menuntut ketelusan serta mendesak supaya siasatan kes RM1.5 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Shafie Apdal dibuka semula, perhimpunan ini pula cuba dihalang?

“Jika benar semua pihak menghormati prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan hak berhimpun secara aman, maka hak tersebut hendaklah diberikan secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira siapa yang menjadi subjek kritikan atau tuntutan.

“Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 juga membawa mesej bahawa Sabah mesti terus dipelihara sebagai sebuah negeri yang aman, harmoni dan menghormati kepelbagaian kaum, agama serta budaya. Perhimpunan ini bukanlah demonstrasi jalanan yang bertujuan mencetuskan konfrontasi atau ketegangan seperti beberapa insiden yang pernah berlaku sebelum ini, termasuk tindakan membakar gambar Perdana Menteri dan pertembungan dengan pihak polis ketika perhimpunan lain.

Gambar karikatur PMX dibakar dalam demo gempur rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS pada Jun 2025 yang lalu…

“Sebaliknya, perhimpunan ini dianjurkan sebagai satu himpunan aman dan simbol solidariti rakyat Sabah yang mahu menyampaikan mesej melalui saluran yang tertib, berhemah dan mengikut lunas undang-undang, tanpa menjejaskan keamanan serta keharmonian negeri.

“Rakyat Sabah hanya mahukan kebenaran, ketelusan dan keadilan. Jika tiada apa yang perlu disembunyikan, mengapa perlu takut kepada sebuah perhimpunan aman yang dijamin oleh undang-undang?” menurut kenyataan Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan.

Sekretariat turut menyeru semua peserta supaya mematuhi undang-undang, menjaga ketenteraman awam, mengelakkan sebarang provokasi serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 berlangsung.

Penafian: Kenyataan ini dikeluarkan oleh Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi SabahNews.
SHARE
Previous articleZainudin Terima Watikah Pelantikan Daripada Ketua Menteri
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.