LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu insiden banjir di Kampung Wawasan 2, di sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.01 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.05 petang dan mendapati mangsa lelaki warga emas terperangkap di kawasan banjir.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan tali penyelamat bagi mengeluarkan mangsa ke kawasan selamat.
Komander Operasi melaporkan mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan lanjut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 5.30 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.46 petang.
Seramai 10 anggota terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan logistik melibatkan sebuah FRT (5 anggota), sebuah FRV (3 anggota) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda DMAX (2 anggota).
Ketua BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan terutama ketika musim cuaca tidak menentu.
“Pasukan kami bertindak pantas sebaik menerima panggilan kecemasan dan keutamaan diberikan kepada keselamatan mangsa. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera menghubungi bomba sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Tiada agensi lain terlibat dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.






