SEMPORNA: Pencemaran sisa marin di perairan pekan Semporna dilaporkan semakin membimbangkan, sekali gus menjejaskan imej kawasan pelancongan terkenal itu.
Seorang jurulatih selam skuba, Aquila Chu, 41, mencetuskan perhatian ramai selepas hantaran Facebooknya memaparkan gambar botol plastik dan pelbagai sampah terapung menjadi tular.
Dalam kapsyennya, beliau menyindir pengunjung agar terus ke pulau jika tidak mahu melihat keadaan perairan di pekan itu.
Chu dari Kota Kinabalu berkata beliau membawa pelancong antarabangsa untuk aktiviti selaman di Semporna sejak 2023, khususnya ke tapak terkenal seperti Pulau Sipadan, namun kecewa dengan tahap kebersihan yang semakin merosot.
Menurutnya, pertambahan penduduk menyumbang kepada peningkatan sisa buangan, manakala ramai penduduk di perkampungan air dan pulau tidak mempunyai akses kepada kemudahan pelupusan sampah.
“Sebahagian memang kurang pendedahan tentang pengurusan sisa, tetapi isu utama ialah ketiadaan tempat pembuangan sampah.
“Golongan tanpa dokumen pula lebih menumpukan keperluan asas seperti air bersih berbanding penjagaan alam sekitar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Sabah Diving Squad Club, Yong Lip Khiong berkata perairan di sekitar ibu negeri Sabah turut berdepan pencemaran domestik yang sama, dengan botol plastik paling banyak ditemui.
Katanya, sebahagian plastik itu sudah menjadi ‘rumah’ kepada hidupan marin, namun tetap membawa kesan buruk jangka panjang kepada ekosistem dan burung laut.
“Apabila laut tercemar, hidupan marin dan manusia sama-sama menjadi mangsa,” katanya.
Yong menegaskan isu sampah marin bukan hanya tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.
Beliau menggesa orang ramai mengurangkan penggunaan plastik, mengasingkan dan mengitar semula sisa serta mengelakkan pembuangan sampah merata-rata demi memastikan laut kekal bersih untuk generasi akan datang.






