Perasaan Panik, Takut Punca Individu Tertipu Helah ‘Macau Scam’

Perasaan Panik, Takut Punca Individu Tertipu Helah ‘Macau Scam’

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUCHING, SARAWAK – Aktiviti penipuan ‘Macau Scam’ menggunakan helah menakutkan dan memberikan situasi panik kepada mangsa agar modus operandi mereka berjalan lancar.

Menurut Pensyarah Perubatan di Jabatan Perubatan Psikologi Unimas Dr Bernard Ting, perasaan panik dan takut serta ingin segera menyelesaikan masalah berkaitan undang-undang merupakan antara faktor utama masyarakat mudah terpedaya dengan ‘Macau Scam’ yang berleluasa ketika ini.

Menurutnya, walaupun jenayah tersebut sering dilaporkan secara aktif dalam media sosial, namun masih terdapat sejumlah besar yang tertipu.

“Mereka ini tertipu kerana ketakutan dan rasa ingin menyelesaikan isu undangundang dengan segera,” katanya ketika dihubungi untuk mengulas mengenai isu ‘Macau Scam’, baru-baru ini.

Beliau yang dipetik Sarawak Voice turut mengakui sebenarnya semua orang mudah terdedah kepada pelbagai jenis penipuan termasuk Macau Scam berikutan pelbagai faktor yang memungkinkan mereka tidak menyedari sedang diperdaya oleh permainan licik sindiket ini.

“Sindiket tersebut selalunya terdiri daripada kumpulan profesional yang kebanyakannya melakukan jenayah siber. “Pelaku biasanya menimbulkan ketakutan kepada mangsa dan mewujudkan keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu yang biasanya berkaitan dengan undang-undang…

“Contohnya, kad kredit atau pinjaman yang tidak dibayar yang akan menyebabkan mereka disenarai hitam, akaun bank dibekukan atau perlu menghadiri prosiding mahkamah,” ujarnya.

Jelasnya, sindiket terbabit juga sentiasa berusaha membuat penampilan sebagai pegawai yang mempunyai kuasa serta mampu menimbulkan rasa waswas, panik dan keinginan terhadap mangsa untuk membela diri atau mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk bertenang apabila menerima panggilan sedemikian kerana ia paling penting untuk mengelakkan berlaku rasa cemas.

“Selepas itu, berkomunikasi – tanya rakan-rakan atau ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan…

“Selain itu, semak dengan pihak berkaitan. Jika ia berkaitan monetari, anda sentiasa boleh menunggu dan pergi ke saluran yang betul untuk mengesahkan kesahihan tuntutan.

“Sentiasa semak melalui laman web rasmi untuk menghubungi semula organisasi berkaitan untuk pengesahan,” tegasnya.

Menurutnya lagi, jangan sesekali mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau nombor TAC pada telefon mahupun secara dalam talian jika tidak mengetahui sebarang transaksi yang berlaku.

Ketika negara dilanda musibah COVID-19, operasi penipuan sebegini tetap berlaku. Menurut laporan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 4 Ogos 2020, jenayah e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 2,500 kes dengan kerugian dicatatkan RM17 juta.