Seorang Lelaki Parah Ditetak Penyerang Bertopeng Ketika Sedang Tidur

Seorang Lelaki Parah Ditetak Penyerang Bertopeng Ketika Sedang Tidur

0
SHARE

PASIR PUTEH, KELANTAN – Seorang lelaki 28 tahun parah selepas ditetak penyerang bertopeng ketika sedang tidur bersama kekasihnya di sebuah rumag di Kampung Bunut Rendah sini pada Jumaat.

Portal berita Sinar Harian melaporkan tahap kecederaan mangsa sebagai pergelangan kaki kiri yang hampir putus, selain kecederaan pada lengan dan bahu kiri dan luka di bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata sepasukan anggota telah dihantar ke lokasi sejurus mendapat maklumat tentang kejadian 2.20 petang itu.

“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut…

“Hasil siasatan awal, kejadian itu berlaku di dalam sebuah bilik. Saksi di tempat kejadian menyatakan mereka telah melihat sebuah kereta jenis Perodua Alza berwarna putih dengan cermin gelap berada di hadapan rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Harian.

Beliau berkata saksi melihat seorang lelaki bertopeng dan berpakaian hitam serta memakai sarung tangan hitam telah keluar dari rumah berkenaan sambil memberi amaran.

“Saksi mendakwa lelaki itu turut menunjukkan objek yang dipegang seakan-akan pistol dan mengarahkan saksi untuk masuk ke dalam rumah…

“Lelaki berkenaan kemudian terus masuk dan duduk di bahagian penumpang hadapan dan kereta itu terus dipandu laju keluar dari lokasi kejadian menyebabkan saksi-saksi tidak dapat mengecam nombor pendaftaran serta sebarang tanda yang ada pada kenderaan tersebut,” katanya.

Menurut Ediansha, hasil temu bual dengan teman wanita mangsa pula mendapati suspek telah mengambil telefon bimbit dan barang milik mangsa sebelum melarikan diri.

Namun mangsa juga seorang yang dikehendaki polis bersabit kes pecah rumah di daerah ini hasil kesan cap jari di tempat kejadian.

“Hasil semakan mendapati mangsa mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkait narkotik dan jenayah harta benda…

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kes berkenaan,” tambahnya.