Harap Pertemuan Anwar dan Hajiji di Tawau Esok Dapat Buka Ruang Perbincangan...

Harap Pertemuan Anwar dan Hajiji di Tawau Esok Dapat Buka Ruang Perbincangan Awal Mengenai Kerjasama Politik – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena lawatan rasminya ke Tawau esok, bagi membincangkan kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata pertemuan itu diharap dapat membuka ruang perbincangan awal ke arah mengekalkan kesepaduan Kerajaan Perpaduan seperti yang diamalkan di peringkat Persekutuan.

“Perdana Menteri akan berada di Tawau esok dan saya difahamkan Ketua Menteri Sabah turut dijadualkan hadir. Maka kita harap akan ada pertemuan dan perbincangan awal antara kedua-dua pemimpin ini.

“Hasrat Perdana Menteri ialah untuk memastikan kesepaduan Kerajaan Perpaduan yang wujud di Putrajaya dapat dikekalkan di Sabah. Soal pengagihan kerusi boleh dirundingkan demi mengelak pertembungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kemahiran dan Kerjaya Borneo di North Borneo University College, Kota Kinabalu, hari ini.

Mustapha, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata beliau memahami pendirian GRS yang ingin menjadi teras kepada kerajaan negeri.

Namun, katanya, kerjasama antara PKR, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti tempatan masih boleh diwujudkan demi kestabilan politik Sabah.

“Kita juga terbuka kepada kerjasama dengan parti-parti tempatan, kerana ini selari dengan semangat Kerajaan Madani yang inklusif,” ujarnya.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk bertanding secara solo dalam PRN akan datang sekiranya PH dan BN memilih untuk terus bekerjasama tanpa melibatkan GRS.

Menurut Hajiji, parti-parti tempatan wajar menjadi tunjang kepada kerajaan negeri kerana ia lebih dekat dengan aspirasi rakyat Sabah.

“Jika keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama sesama mereka, maka GRS akan memfokuskan usaha ke arah bekerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan,” katanya.

GRS sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan dominasi parti tempatan di Sabah, sejajar dengan pendirian mereka mengenai autonomi negeri.