Laporan Tahunan 2024 Jabatan Perhutanan Sabah Tunjukkan Pencapaian Cemerlang

Laporan Tahunan 2024 Jabatan Perhutanan Sabah Tunjukkan Pencapaian Cemerlang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) membentangkan Laporan Tahunan 2024 setebal 288 muka surat yang merangkumi pelaksanaan projek, aktiviti dan pencapaian sepanjang tahun lalu.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan, menyerahkan laporan itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, mewakili Ketua Menteri Sabah, sempena Majlis Apresiasi Perhutanan Negeri di sini semalam.

Antara pencapaian utama ialah penganjuran Persidangan Perhutanan Malaysia ke-20 pada Oktober 2024, di mana Pelan Tindakan Bakau Sabah turut dilancarkan.

Jabatan itu juga aktif menyertai pelbagai forum peringkat antarabangsa dan kebangsaan seperti Forum ASEAN SAFS 2024, SIBEC 2024, serta persidangan berkaitan biodiversiti dan pemulihan landskap hutan serantau.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam, pelbagai program penanaman pokok dijalankan, dengan lebih 23 juta pokok ditanam di bawah Kempen Penghijauan Malaysia.

Sebanyak 63 peratus daripada keluasan tanah Sabah masih berhutan, dengan 2 juta hektar diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya.

Pendapatan hasil perhutanan tahun lalu meningkat kepada RM171 juta, iaitu peningkatan RM16 juta berbanding 2023.

Jabatan itu turut ditugaskan menempatkan Unit Gas Rumah Hijau (GHG) bagi menyokong agenda perubahan iklim negeri serta dilantik sebagai Sekretariat Tetap Majlis Tindakan Iklim Sabah (SCAC).

Dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa, terutamanya Eropah, Sabah TLAS sedang disemak semula agar sejajar dengan peraturan baharu EU seperti EUDR dan EU CS3D.

Bagi industri perladangan hutan, seluas 178,000 hektar telah dibangunkan setakat ini. Pemain industri juga digalakkan meneroka konsep Rantaian Nilai Ekonomi (EVC) untuk mengintegrasikan sektor huluan dan hiliran.

Jabatan itu turut menggerakkan Inisiatif Jurisdiksi Minyak Sawit Mampan Sabah (JCSPO) bagi membantu pekebun kecil mendapat pensijilan secara berkumpulan.

Nilai pemuliharaan juga diterapkan dalam projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan-Borneo. Konsep No-Net Loss (NNL) dan Nett-Gain (NG) turut diperkenalkan sebagai mekanisme gantian hutan.

Dari segi penguatkuasaan, inisiatif seperti pelantikan Renjer Hutan Kehormat (RHK), latihan senjata api dan Ops Khazanah (OBK) terus dilaksanakan.

JPS juga kini menjadi anggota Majlis Jenayah Kewangan Negara (NFCC) bagi memastikan integriti perkhidmatan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kadar perbelanjaan pembangunan persekutuan mencapai 99.53 peratus, manakala negeri mencatat 99.99 peratus.

Sebanyak 112 hasil penyelidikan dan penerbitan telah dikeluarkan hasil kerjasama strategik bersama pelbagai rakan kongsi.

Jabatan turut memajukan transformasi digital menerusi pembangunan sistem seperti Aplikasi Kutipan Cukai, E-Ladang Hutan (Geoforest) dan CAIMS.

Datuk Frederick yakin bahawa kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak dan menyatakan komitmen jabatan untuk terus cemerlang dalam pengurusan hutan mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.