200 Murid dan Pelajar B40 Terima Bantuan Kasut Sekolah

200 Murid dan Pelajar B40 Terima Bantuan Kasut Sekolah

0
SHARE
Emmie menyerahkan bantuan kepada Guru Besar SK Buayan

PENAMPANG: Lebih 200 murid dan pelajar dari 26 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang menerima bantuan kasut sekolah sempena Program ‘Back To School’.

Bantuan kasut tersbut disumbangkan oleh Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dengan kerjasama Kelab Belia Revolusi Aktif Kituau (KREATIF).

Majlis Penyerahan Bantuan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang.

Emmie berkata, pihaknya terpanggil untuk memberikan sumbangan tersebut bagi membantu meringankan beban ibu bapa pelajar daripada golongan B40 berikutan kos barangan keperluan sekolah yang semakin meningkat.

“PPD Penampang adalah kawasan pertama yang kami bantu dan selepas ini kita akan cuba masuk ke daerah-daerah lain bagi mengenal pasti golongan pelajar yang memerlukan bantuan dengan kerjasama PPD di daerah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan di PPD Penampang pada Isnin.

Sementara itu, Pegawai PPD Penampang, Ag Mohd Kadir Ag Kanak menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan yang telah diberikan itu.

“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih atas sumbangan ini, mudah-mudahan dapat membantu para pelajar kita yang amat memerlukan dan kita juga harap agar kerjasama seperti ini akan berterusan di masa-masa akan datang.

“Banyak bantuan-bantuan yang kita usahakan, misalnya untuk mengurangkan bebanan pelajar dari segi perbelanjaan, pembelian pakaian kemudian tambang dan sebagainya,” katanya.

Turut menzahirkan rasa syukur, Guru Besar Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Buayan, Lazim Gudau yang mewakili pelajarnya menerima bantuan kasut tersebut.

“Semoga bantuan yang diberikan ini dapat memberi manfaat yang banyak kepada murid saya, kerana mereka di kawasan pedalaman, iaitu kawasan hutan.

“Sebelum ini, murid saya hanya menggunakan kasut getah sahaja, jadi kalau dapat kasut yang bagus ini, harap-harap mereka terus semangat untuk belajar.

“Sebenarnya sekolah kami memang masih banyak memerlukan bantuan seperti peralatan Teknologi dan Komunikasi Maklumat (ICT),” katanya.

Turut hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan itu ialah, Pengerusi Kelab KREATIF, Tracie Nam; Exco-Exco Pergerakan Beliawanis Pusat, Belsheera Elison, Lindsay Michael dan Naib Ketua Pergerakan Beliawanis Moyog, Cassie Siambun.