TUARAN: Peniaga-peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan di kawasan Sulaman akan diberi bantuan tunai RM3,000 setiap seorang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Tuaran untuk menyenaraikan peniaga-peniaga kecil di Sulaman supaya bantuan tunai itu dapat diagihkan.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya telah berjanji dan saya berharap saya akan mendapat senarai tersebut dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya pada majlis perasmian Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena pertandingan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama, Lok Batik di sini pada malam Ahad.
Hajiji berkata beliau faham akan keperluan peniaga-peniaga kecil yang amat memerlukan bantuan sedemikian.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Karnival Usahawan dan STEM X Challenge ini amat signifikan kerana ia dapat membantu usahawan-usahawan kecil dalam perniagaan mereka.
“Ianya memberi semangat dan peluang kepada para usahawan kecil terutama golongan muda untuk meneruskan aktiviti harian.
“Bukan semua kita boleh bekerja sebagai pegawai kerajaan tetapi kita boleh menceburkan diri dalam perniagaan dan menjadi seorang usahawan.
“Jika kita berjaya menjadi seorang usahawan maka ianya boleh mendatangkan pendapatan yang lebih baik lagi. Yang penting kita mesti rajin dan jangan malu,” katanya.
Ketua Menteri berkata kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan untuk usahawan terutama usahawan muda agar mereka dapat bergerak maju.
Mengenai STEM X Challenge, beliau berkata bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting di zaman yang serba moden ini.
“Amat penting untuk anak-anak kita menguasai STEM kerana ianya amat diperlukan untuk mencapai kejayaan dan tentunya dalam pembangunan negara dan masyarakat,” katanya.
Penganjuran program malam ini yang mengambil inspirasi sempena World Cup 2026 turut membawa mesej bahawa semangat kesukanan boleh diterjemahkan dalam bidang pendidikan dan inovasi, katanya.
“Sebagaimana sukan menuntut disiplin, strategi, kerjasama dan semangat juang yang tinggi, begitu jugalah bidang STEM dan keusahawanan memerlukan sifat yang sama untuk mencapai kejayaan,” katanya.






