Lori Muatan Kelapa Sawit Terbakar di Jalan Ansip, Keningau

Lori Muatan Kelapa Sawit Terbakar di Jalan Ansip, Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit musnah dalam kebakaran di Jalan Ansip, berhampiran simpang menuju ke Kilang Yun Fuk, pada petang Ahad.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.26 petang sebelum sepasukan anggota bersama beberapa aset digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 38 kilometer dari balai.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 5.02 petang, didapati sebuah lori yang membawa muatan kelapa sawit sedang terbakar.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan satu pancutan air dan api berjaya dikawal pada jam 5.24 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya 10 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Operasi diketuai PBK I Ranizan Samirin dengan kekuatan seorang Pegawai Bomba Kanan I, tujuh Pegawai Bomba Kanan II dan dua anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB).

Turut digunakan dalam operasi itu ialah sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda Vigo.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula sebelum pasukan menamatkan operasi dan kembali ke balai.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan Pegawai Penyiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Keningau,” katanya.