KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah kembali mencatat pertumbuhan kukuh pada 2025 apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri berkembang 5.1 peratus dengan nilai keseluruhan meningkat kepada RM88.8 bilion, berbanding RM84.5 bilion pada 2024 yang didorong oleh prestasi memberangsangkan sektor perkhidmatan, perlombongan dan pengkuarian.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan pertumbuhan itu jauh lebih baik berbanding kadar 1.2 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya, sekali gus menyaksikan pertambahan nilai ekonomi Sabah sebanyak RM4.3 bilion.
Jelas DOSM lagi, sektor Perkhidmatan dan sektor Perlombongan serta Pengkuarian terus menjadi tunjang ekonomi negeri dengan sumbangan gabungan sebanyak 74.1 peratus kepada KDNK Sabah, diikuti sektor Pertanian (13.9) peratus, Pembuatan (7.2 peratus), Pembinaan (4.4 peratus) dan duti import (0.4 peratus).
“Sektor Perkhidmatan berkembang 4.5 peratus, dipacu oleh subsektor berkaitan pelancongan termasuk perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta perkhidmatan kerajaan.
“Sektor Perlombongan dan Pengkuarian pula kembali berkembang 4.9 peratus selepas merekodkan penguncupan 4.9 peratus pada 2024, berikutan peningkatan pengeluaran minyak mentah, kondensat dan gas asli,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
DOSM turut memaklumkan sektor Pertanian kembali berkembang 0.9 peratus selepas menguncup pada tahun sebelumnya, disokong peningkatan pengeluaran kelapa sawit, manakala sektor Pembuatan meningkat lima peratus hasil pertumbuhan industri produk minyak dan lemak berasaskan sayuran serta haiwan dan pemprosesan makanan.
Sementara itu, sektor Pembinaan mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 28.3 peratus, didorong oleh perkembangan semua subsektor terutama kejuruteraan awam.
Dari segi pendapatan, KDNK per kapita Sabah meningkat kepada RM31,125 berbanding RM30,575 pada 2024, namun masih berada di bawah purata nasional sebanyak RM59,167.
Menurut DOSM, Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia dan mengekalkan kedudukannya sebagai negeri ketujuh terbesar penyumbang kepada ekonomi negara.
Dalam kenyataan sama, DOSM memaklumkan Banci Ekonomi 2026 yang bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” sedang dilaksanakan sehingga 31 Oktober depan bagi mengumpul data menyeluruh mengenai prestasi dan struktur ekonomi negara.
DOSM turut memaklumkan Malaysia mencatat sejarah apabila menduduki tempat pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 terbitan Open Data Watch, melonjak daripada kedudukan ke-67 dalam penilaian terdahulu, sekali gus mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kualiti dan keterbukaan data rasmi negara.






