Mayat Tukang Gunting Rambut Ditemui Mula Reput di Pangsapuri Penampang

Mayat Tukang Gunting Rambut Ditemui Mula Reput di Pangsapuri Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Seorang wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang gunting rambut ditemui meninggal dunia dalam keadaan mula mereput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Penampang Lama, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu kira-kira jam 10 malam (30 Jun) selepas mangsa gagal dihubungi oleh majikannya sejak pagi hari sama.

“Siasatan awal mendapati majikan mangsa telah pergi ke kediamannya kerana gagal menghubungi mangsa.

“Pintu rumah didapati berkunci dan tiada maklum balas sebelum pihak polis dengan bantuan bomba membuka pintu secara paksa dan menemui mangsa tidak bernyawa di dalam rumah,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa berusia 42 tahun dilaporkan tinggal bersendirian dan sebelum itu memaklumkan akan bercuti pada 29 Jun serta dijangka kembali bekerja keesokan harinya.

Pemeriksaan di lokasi oleh pasukan siasatan jenayah IPD Penampang bersama unit forensik IPK Sabah mendapati tiada unsur jenayah dikesan setakat ini.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar dan video kejadian bagi menghormati keluarga mangsa.