MEGA HALAL Bangkok 2026 Buka Peluang Syarikat Malaysia Kuasai Pasaran Global

MEGA HALAL Bangkok 2026 Buka Peluang Syarikat Malaysia Kuasai Pasaran Global

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kini berpeluang memperluaskan penguasaan dalam pasaran halal antarabangsa menerusi pameran MEGA HALAL Bangkok 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini.

Menurut kenyataan penganjur hari ini, pameran edisi kedua itu akan diadakan di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, Thailand dengan menghimpunkan pemain industri, pembeli dan pengedar dari seluruh rantau ASEAN serta pasaran global.

Pameran bertemakan “International Showcase Enriching the Halal Way of Life” itu dianjurkan oleh Comasia Limited dengan kerjasama SHAPERS (pengasas MIHAS dan HALFEST Malaysia) selaku pengelola bersama, serta rakan dagang strategik iaitu Institut Makanan Thailand (NFI) dan Persatuan Perdagangan Muslim Thai (TMTA).

Penganjuran tersebut akan berlangsung serentak dengan MEGA SHOW Bangkok, sekali gus meningkatkan kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama di rantau ASEAN.

“Lebih 200 pempamer daripada lebih 10 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian dalam MEGA HALAL Bangkok 2026.

“Ia merangkumi pelbagai segmen industri termasuk makanan dan minuman, kosmetik, penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan, farmaseutikal, fesyen Muslim, gaya hidup serta teknologi halal,” menurut kenyataan itu.

Antara negara yang telah mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Tanah Besar China dan Taiwan, sekali gus menjadikan pameran itu sebagai platform penting untuk mempromosikan inovasi serta produk halal dari Asia kepada pasaran dunia.

Bagi memastikan penyertaan antarabangsa yang lebih meluas, siri jelajah promosi telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu di beberapa hab halal utama termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun dan China.

Kempen itu turut mendapat sokongan pelbagai organisasi halal serta rakan media antarabangsa di Afrika Selatan, Korea Selatan, Pakistan dan Bangladesh bagi memperluaskan capaian kepada komuniti perniagaan halal global.

Di Indonesia, organisasi terkemuka seperti Halal Indo dan Debindo turut bekerjasama mempromosikan penyertaan syarikat-syarikat tempatan, sekali gus memperkukuhkan penglibatan negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia.

Dalam usaha menarik lebih ramai pembeli profesional antarabangsa, kempen promosi berskala besar turut dijalankan di beberapa hab penerbangan utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bangkok Suvarnabhumi, Soekarno-Hatta Jakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Beberapa syarikat peruncitan utama Asia seperti Big C dan Lotus’s dari Thailand serta Indomaret dari Indonesia telah mengesahkan penyertaan sebagai pembeli perdagangan, membuka peluang kepada pempamer untuk menjalin kerjasama komersial secara langsung dengan rangkaian pengedaran terbesar di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memudah cara perdagangan antarabangsa, pihak penganjur turut menawarkan insentif eksklusif berupa penginapan percuma selama dua malam di hotel lima bintang mesra halal kepada pembeli perdagangan dan peserta antarabangsa yang layak.

Selaras dengan inisiatif tersebut, Al Meroz Hotel Bangkok, yang merupakan hotel mewah pertama di Thailand yang diperakui halal, telah dilantik sebagai Rakan Hotel Rasmi MEGA HALAL Bangkok 2026, sekali gus memperkukuhkan pengalaman hospitaliti mesra halal sepanjang penganjuran.

Pihak penganjur menggalakkan syarikat Malaysia, pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim dan produk gaya hidup halal supaya merebut peluang ini bagi memperluaskan jaringan perniagaan serta menembusi pasaran halal ASEAN dan dunia.

Pendaftaran untuk pameran ini masih dibuka dan boleh dibuat menerusi laman web rasmi di www.megahalal-bangkok.com.