Isu Jambatan Tamparuli Dibangkitkan di Parlimen, KKR Digesa Selesaikan Masalah Kesesakan Jalan

Isu Jambatan Tamparuli Dibangkitkan di Parlimen, KKR Digesa Selesaikan Masalah Kesesakan Jalan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Isu kesesakan lalu lintas yang berlarutan susulan penutupan Jambatan Tamparuli (Low Level Crossing) dibangkitkan di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesesakan yang membebankan pengguna jalan raya.

Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli membangkitkan perkara itu menerusi sesi Pertanyaan Lisan kepada Menteri Kerja Raya pada Persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Beliau meminta KKR menjelaskan langkah alternatif yang dilaksanakan bagi menangani kesesakan susulan penutupan jambatan berkenaan.

“Penutupan ini telah memberi kesan yang ketara dan menyebabkan kesesakan di Jalan Telibong–Pekan Tamparuli serta laluan utama Jalan Tamparuli–Ranau,” katanya.

Dalam jawapan bertulis, KKR memaklumkan semakan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mendapati Jambatan Tamparuli berada di bawah bidang kuasa JKR Sabah dan diselenggara oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

Menurut kementerian itu, jambatan berkenaan terpaksa ditutup selepas mengalami kerosakan struktur yang memerlukan kerja-kerja pembaikan segera demi keselamatan pengguna.

“Kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang penghujung September 2026, manakala jambatan itu dijangka dibuka semula kepada pengguna pada awal Oktober 2026,” menurut KKR.

Sepanjang tempoh penutupan, orang ramai disarankan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Bontoi–Tamparuli dan Jalan Kota Kinabalu–Kudat bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Bagi penyelesaian jangka panjang, KKR memaklumkan jambatan Low Level Crossing itu akan dinaik taraf kepada sebuah jambatan kekal.

Menurut kementerian itu, cadangan projek naik taraf berkenaan telah memperoleh kelulusan pembiayaan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Selain itu, KKR turut mengemukakan permohonan bagi Projek Menggantikan Jambatan Tamparuli (Sungai Tuaran) di KM35.78 Jalan Kota Kinabalu–Kudat untuk dipertimbangkan di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Bagaimanapun, kementerian itu memaklumkan keputusan rasmi berhubung kelulusan projek berkenaan hanya akan diketahui selepas pembentangan Bajet Kerajaan 2027.