KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut merayu pada pemimpin politik Sabah menghentikan niat dan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.
Beliau turut meminta agar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan untuk rakyat dan masalah ekonomi.
“Hentikanlah kerja-kerja menjatuhkan kerajaan negeri. Saya minta agar kita semua menumpukan perhatian kepada pembangunan rakyat and masalah ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tentang kemelut politik yang berlaku di Sabah susulan keputusan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kalau sudah tarik sokongan itu buat lah kerja sebagai pembangkang kerana tiada siapa suruh kamu tarik diri (daripada kerajaan negeri),” katanya.
Christoper menambah, pertukaran Ketua Menteri dan jerajaan negeri yang kerap hanya merugikan rakyat Sabah.
“Janganlah pentingkan diri sendiri. Kalaupun mahu berkuasa tunggu sehingga penggal habis dahulu. Tidak lama lagi cuma tinggal dua setengah tahun sahaja lagi … masa itu baru kita serahkan kembali kepada rakyat untuk menentukan,” katanya.





