KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah (WARISAN) berpendapat tidak ada keperluan membawa status keabsahan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah ke mahkamah.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Hajiji semalam yang dilaporkan berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kedudukannya boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Oleh itu, Mohd Shafie berkata tidak perlu membawa perkara itu ke mahkamah atau membentangkan usul undi percaya kerana semuanya telah jelas dalam undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah.
“Sebelum ini, semasa saya menjadi Ketua Menteri, kita bawa usul undi percaya di ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dua pertiga saya menang. Kemudian, datang ‘orang’ lain, ‘beli’ orang saya jadi saya terpaksa bubar DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian, semasa ditemui pemberita selepas sesi pertemuannya dengan Duta Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga berkata jumlah majoriti atau akuan bersumpah (SD) adalah tidak penting walaupun Hajiji mendakwa beliau memperolehi sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), semalam.
“Dia ada nombor, kita juga ada nombor. Tidak perlu bercakap tentang nombor atau SD. Apa yang penting ialah pematuhan terhadap undang-undang.
“Saya bukan mahu jadi Ketua Menteri, gilakan jawatan. Dari dulu pun saya sudah ditawarkan menjadi TPM semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dan penting untuk kita terjemahkannya. Kerana itu saya melihat penting untuk kita melihat daripada sudut undang-undang Anti Lompat Parti yang telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan,” katanya.