SEMPORNA: Mahkamah Sesyen Tawau menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau penjara enam bulan terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun di atas kesalahan memiliki lebih 2,000 liter minyak Petrol tanpa lesen di Perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Semporna, Joong Jee Leong berkata, tertuduh Abdullah Asadan mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya atas kesalahan berurusan barang kawalan minyak Petrol sebanyak 2.080 liter dalam 70 jerikin secara runcit atau borong tanpa lesen.
“Kesalahan ini terlibat di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambah beliau, tangkapan kes tersebut dilakukan di kawasan Perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum, Semporna Sabah oleh sepasukan anggota polis daripada Balai Polis Bum Bum, Semporna dan kemudian diserahkan kepada pihak KPDN untuk siasatan lanjut.
“Semasa tangkapan, didapati Abdullah minyak petrol sebanyak 2,080 liter di dalam 70 jerikin di dalam bot kayu berwarna kelabu taris merah yang disyaki cuba membawa barang kawalan tersebut menuju ke negara jiran iaitu ke Sitangkai, Filipina.
“Tertuduh didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimiliki,” tegasnya.
Di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
KPDN Cawangan Semporna tidak akan berkompromi dengan aktiviti melibatkan barang kawalan dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di daerah ini.