KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menyelamatkan sembilan wanita warganegara Filipina lingkungan 20 hingga 45 tahun dari terus menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Semporna.
Dua orang lelaki serta seorang wanita warganegara sama lingkungan 28 hingga 40 tahun yang disyaki sebagai dalang juga ditahan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata Operasi Antipemerdagangan Orang Dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dijalankan pada Khamis dan Jumaat lalu dengan kekuatan seramai 15 anggota.

“Serbuan dibuat keatas dua lokasi iaitu pada sebuah rumah yang tidak bernombor di SK. Pekan Semporna dan sebuah lagi rumah di atas air di Kampung Terusan Hujung Batu, Pulau Bum-Bum pada jam 11 malam…
“Siasatan mendapati semua mangsa mengaku terpedaya dengan pujukan dan tipudaya seorang wanita warganegara Filipina yang giat mencari mangsa dalam kalangan warganegara sama.
“Mereka dijanjikan pekerjaan berpendapatan lumayan di Timur Tengah terutama Jordan dan Dubai.
“Setiap mangsa dikenakan bayaran ribuan ringgit sehingga mencecah RM13,000 bagi setiap bayaran perkhidmatan,” katanya.

Semua anggota sindiket pemerdagangan orang telah ditahan di Depot Tahanan Imigresen Papar dan mangsa sindiket telah ditempatkan di Pusat Pelindungan Wanita Kota Kinabalu setelah disahkan bebas jangkitan COVID-19.
Kata Sade lagi kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 iaitu kesalahan menjalankan penyeludupan migran, Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 15 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Beliau menyeru orang ramai agar terus melaporkan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia dengan berperanan sebagai mata dan telinga kepada kerajaan.
“JIM Sabah tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mana-mana orang yang terlibat dengan aktiviti memperdagang dan menyeludup migran,” katanya.





