KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy Ibrahim, 43, meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia hari ini (Ahad).
Berita dukacita pemergian Benjy yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi.
“Ben (panggilan buat Benjy) meninggal di hospital Medan Indonesia akibat asma hari ini,” itu mesej kiriman Khairil Anwar yang dikenali sebagai karl media menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Menurut Karl, beliau dimaklumkan anak sulungnya itu meninggal dunia akibat penyakit asma ketika menerima panggilan telefon daripada rakan arwah kira-kira 11 pagi tadi.
Walaupun pihak keluarga mahu jenazah arwah diuruskan dan dikebumikan di Malaysia, Karl memberitahu bahawa segala kos membawa pulang jenazah menelan belanja yang besar menyebabkan segala urusan pengebumian Benjy akan dilakukan di Medan.
“Ada kawan Ben telefon saya maklumkan Ben meninggal dunia pukul 11 pagi ini,” jelas Karl dalam nada sebak ketika dihubungi.





