KUDAT: Bekas Ahli Parlimen Kudat dan Kota Marudu dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Amir Kahar Tun Mustapha tampil menjelaskan isu notis pengosongan yang tular melibatkan Kampung Landong Ayang, Kudat.
Beliau mengesahkan bahawa notis bertarikh 19 Mei 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah hanya melibatkan dua buah rumah yang terletak sepenuhnya dalam kawasan yang telah digazetkan.
“Notis ini tidak melibatkan keseluruhan kampung seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, penyampaian notis telah dilakukan secara tertib dan telus, dengan kehadiran Ketua Daerah Kudat, OKK Aliasgar Alibaba.
Tambahnya, penduduk yang terlibat juga telah dimaklumkan berkali-kali sejak lebih 20 tahun lalu.
“Tiada sebarang unsur paksaan atau tindakan mengejut yang diambil tanpa pemakluman awal,” katanya lagi.
Amir turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengeruhkan keadaan.
Beliau menyeru agar semua pihak memberi kerjasama kepada pihak berkuasa demi menyelesaikan isu ini secara harmoni dan berhemah.
Amir menegaskan komitmennya untuk terus prihatin terhadap kebajikan rakyat, sambil menjunjung kedaulatan undang-undang dan menghormati hak pihak berkuasa yang sah.






