KIULU, SABAH – Belia masa kini boleh banyak mempelajari daripada memerhatikan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang mengekalkan ketenangan dan ketegasan dalam menghadapi pergolakan politik baru-baru ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata Hajiji telah menunjukkan ciri kepimpinannya dengan mengatasi percubaan beberapa ahli politik untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri sambil menyatukan pemimpin lain dari pelbagai latar belakang politik sewaktu menghadapi krisis.
“Sabah memerlukan seorang pemimpin yang tidak akan menyemai perbalahan sebaliknya akan berusaha untuk mewujudkan dan mengekalkan kestabilan demi kebaikan semua.
“Walaupun Hajiji mungkin dilihat sebagai Ketua Menteri yang pendiam, tindakan dan kebolehannya untuk berkhidmat sangat menonjol.
“Golongan muda mempunyai ramai pemimpin yang perlu disanjung dan belia kita boleh mengambil beberapa pengajaran berharga daripada gaya kepimpinan Hajiji yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Outreach Belia 2.0 Sabah Maju Jaya Program di sini, Ahad lepas.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan Gabungn Rakyat Sabah (GRS) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata Ketua Menteri memberi perhatian khusus kepada isu belia dan telah memasukkan agenda belia dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya di bawah Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.
Beliau kemudiannya menggalakkan belia menyertai sebarang inisiatif dan program yang dijalankan oleh kerajaan negeri yang direka untuk meningkatkan kemahiran dan memberi sokongan.
Semasa majlis itu, Joniston turut menyeru anak muda Kiulu untuk bertindak sebagai penghubung antara rakan sebaya dengan pemimpin negeri.
Beliau mendesak belia untuk mengambil peranan kepimpinan dan menasihatkan supaya mereka bermula dengan membentuk jawatankuasa perhubungan belia DUN Kiulu sebagai langkah pertama.
“Ini boleh membantu dalam pembangunan pemimpin masa depan kita, membolehkan mereka merealisasikan potensi penuh mereka.
“Melalui jawatankuasa sebegini, golongan muda akan mempunyai saluran yang betul untuk berkomunikasi dengan saya dan terlibat dalam perbincangan progresif yang membina mengenai isu belia di Kiulu,” katanya.
Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) di bawah Pejabat Ketua Menteri berkolaborasi dengan Persatuan Cakna Masyarakat Sabah (PEMERKASA) dan Sahabat IKRAR, bagi menganjur majlis beramah mesra bersama pemuda itu.
Pengarah IKRAR Azrul Ibrahim turut hadir pada majlis tersebut.





