Dada Dan Muka Arwah Nur Farah Reput, Punca Kematian Belum Dapat Disahkan

Dada Dan Muka Arwah Nur Farah Reput, Punca Kematian Belum Dapat Disahkan

0
SHARE

SUNGAI BULOH: Punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 25, masih belum dapat disahkan disebabkan keadaan mayat yang reput pada bahagian dada dan muka, lapor MalaysiaGazette.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pakar patalogi memerlukan keputusan analisis makmal ke atas beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat.

“Buat masa ini, pakar tidak dapat sahkan kematian kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka.

“Selepas dapat keputusan analisis makmal, barulah pakar dapat putuskan sebab kematian,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengesahkan pihaknya telah merampas sebuah kereta jenis Toyota milik suspek yang juga kenalan mangsa untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu ditemui di kawasan ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang, Isnin lalu.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.