Abang Maklum Jenazah Nur Farah Dikebumi di Pekan, Pahang Hari ini

Abang Maklum Jenazah Nur Farah Dikebumi di Pekan, Pahang Hari ini

0
SHARE

SELANGOR: Jenazah bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dijangka akan dikebumikan di Pekan, Pahang, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, perkara itu dimaklumkan oleh Abang mangsa, Mohd Fariza Amir Abdullah, 28, ketika dihubungi.

Katanya, jenazah akan dituntut hari ini, selepas semua prosedur selesai.

Bagaimanapun, Mohd Fariza tidak memperincikan bila proses pengebumian akan dilaksana dan tanah perkuburan yang ditetapkan.

Beberapa pengamal media berkumpul di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, seawal jam 7 pagi tadi.

Sehingga jam 8.30 pagi, tiada ahli keluarga mahupun rakan Nur Farah dilihat berada di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.

Semalam media melaporkan graduan UPSI yang dilaporkan hilang sejak Rabu minggu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira jam 6 petang kelmarin dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.