KOTA KINABALU, SABAH – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah memulakan tahun baru dengan rampasan 55.40 kilogram syabu bernilai sekurang-kurangnya RM 1.99 juta.
Modus operandi seorang lelaki 50 tahun menyeludup dadah tersebut menggunakan kaedah perkhidmatan kurier dihidu BSJN Bukit Aman sebelum ianya tiba ke negeri ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Datuk Jauteh Dikun berkata, syabu seberat 33.62 kilogram bernilai RM 1.21 juta mendarat dalam kotak peralatan akuarium ikan peliharaan bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Suspek ditahan di kawasan letak kereta sebuah syarikat penghantaran barangan di Inanam pada jam 4.15 pada 4 Januari (Selasa) lalu,” katanya dalam sidang media petang tadi.
Lima hari selepas insiden, suspek akhirnya membawa polis kepada satu unit di Aeropod, Tanjung Aru, di mana dua lagi kotak berisi dadah yang sama degan berat 21.78 kilogram bernilai RM 784,000 berjaya dirampas.
Sejumlah wang tunai bernilai RM 102,097 turut dirampas dari lelaki berkenaan yang dipercayai datang dari Kuala Lumpur.
“Ujian saringan dadah ke atas suspek kembali positif dadah jenis syabu. Beliau merupakan seorang penggangur dan memiliki 17 rekod jenayah lampau berkaitan kes curi, pecah rumah dan dadah,” tambah Jauteh.
Apabila ditanya jika dadah terbabit untuk dijual kepada pasaran tempatan ataupun Sabah hanya digunakan sebagai transit, beliau berkata kes masih dalam siasatan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, boleh membawa kepada hukuman mati mandatori…
“Suspek kini di tahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Selasa minggu depan,” katanya.
Menrutnya, kuantiti dadah sebanyak itu mampu menampung lebih kurang 280,000 penagih dalam satu masa.
Dalam perkembangan lain, Jauteh berkata berlaku peningkatan dalam rampasan dadah hampir 200 peratus (RM 15.74 juta) pada tahun 2021 berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi nilai rampasan harta penjenayah dadah, nilai sitaan sebanyak RM 8.80 juta iaitu peningkatan sebanyak 295 peratus daripada tahun sebelumnya,” ujarnya.