Ewon Sampaikan Watikah Pelantikan Semula Pengerusi Eksekutif SKM

Ewon Sampaikan Watikah Pelantikan Semula Pengerusi Eksekutif SKM

0
SHARE
Ewon
Ewon menyampaikan watikah pelantikan semula Rusli Jaafar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) - ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan watikah pelantikan semula Rusli Jaafar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang baharu berkuatkuasa 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2025.

Majlis ringkas itu diadakan di Dewan Persidangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di sini, semalam.

Ewon merakamkan ucapan tahniah kepada Rusli atas pelantikan semula sebagai pengerusi eksekutif SKM.

“Saya percaya pengalaman beliau dalam SKM akan membantu mencapai misi dan visi SKM iaitu menjadikan koperasi lebih berdaya saing dan maju seterusnya menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan ketua-ketua agensi kementerian.

Sebelum ini, Rusli dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SKM pada 1 Disember 2022.

Pelantikan itu diperkenaankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Seksyen 11(3)(a) Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665).

Rusli, 60, berasal dari Kuala Selangor berpengalaman selama 30 tahun di SKM (dahulu sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi).

Sepanjang tempoh tersebut beliau memegang jawatan sebagai pengarah di beberapa bahagian ibu pejabat dan negeri sehinggalah di peringkat pengurusan tertinggi SKM.