Yong Teck Lee Minta Laporan Penuh Australia Berkaitan Nahas Double Six

Yong Teck Lee Minta Laporan Penuh Australia Berkaitan Nahas Double Six

0
SHARE
Yong
Yong memegang salinan jawapan Arkib Negara Australia yang memberi alasan untuk menahan sebahagian daripada laporan nahas udara Double Six ( Sumber Foto: Ihsan SAPP )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Malaysia secara rasmi seharusnya meminta kerajaan Australia untuk mengeluarkan laporan penuh mereka mengenai nahas udara Double Six dengan segera.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata alasan yang digunakan oleh Arkib Negara Australia dalam menahan penerbitan laporan penuh adalah dengan alasan perkongsian maklumat akan dijangka menyebabkan kerosakan kepada hubungan antarabangsa Komanwel

“Alasan lain yang dinyatakan oleh Arkib Negara Australia ialah Malaysia masih belum mengeluarkan laporan akhir dan penuh siasatan mereka secara terbuka.

“Arkib Negara Australia menamakan laporan itu sebagai “Accident Malaysia Nomad Aircraft 9M-ATZ on 6 June 1976.

“Dalam dua maklum balas kepada wakil saya bertarikh 14 Mac 2012, Arkib Negara Australia telah menyatakan bahawa rekod mereka mengandungi butiran teknikal yang boleh memberi kesan kepada hubungan Komanwel (Australia) dengan kerajaan semasa negara asing.

“Dalam kes ini, negara asing itu bermakna bukan lain tapi Malaysia. Kedua-dua laporan Malaysia dan Australia mesti diterbitkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Yong turut berkata Arkib Negara Australia juga telah mendedahkan bahawa terdapat bahagian tertentu teks telah dihapuskan.

Selain itu, menurutnya beliau, maklum balas daripada arkib Australia turut mendedahkan bahawa sejumlah 110 folio ditahan daripada diterbitkan di mana setiap folio mengandungi lebih daripada satu halaman.

“Hanya pelepasan laporan penuh, di Malaysia dan Australia, boleh menutup babak sejarah Sabah yang amat menyakitkan ini,” tegasnya.