LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal tangki atas lima kesalahan yang dilakukan di kedudukan 25 batu nautika barat laut Pulau Labuan pada pukul 1.00 petang, Rabu lepas.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Mohd Hafiz Abd Mutalib berkata, kapal peronda KM Bistari yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut telah melakukan pemeriksaan rutin terhadap kapal tangki yang berdaftar di Malaysia.
“Hasil pemeriksaan ke atas dokumentasi kapal, pihak Maritim Malaysia telah menemui beberapa kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 antaranya gagal mempamerkan dokumen insurans kapal, gagal mempamerkan dokumen Port Clearance, serta gagal mempamerkan dokumen senarai krew yang sah.
“Semasa diperiksa, kapal terbabit dikendalikan oleh seorang kapten kapal bersama tujuh orang krew terdIri daripada warganegara Malaysia, Filipina, dan Myanmar yang berusia lingkungan 21 hingga 47 tahun.
“Pemeriksaan juga mendapati kapten bersama ketua jurutera gagal mempamerkan dokumen kompetensi dan kelayakan yang sah,” katanya.
Katanya, kapal bersama kapten dan kesemua kraw telah ditahan dan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.