Perkhidmatan Awam Perlu Terapkan Keseronokan Bekerja – KSN

Perkhidmatan Awam Perlu Terapkan Keseronokan Bekerja – KSN

0
SHARE
Ksn
Shamsul Azri ( berdiri tengah) bergambar kenangan bersama Anggota Perkhidmatan Awam yang hadir ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, membudayakan keseronokan bekerja dalam organisasi adalah perkara penting dalam menetapkan strategi keberhasilan reformasi.

“Memetik kata-kata pemikir tersohor dunia, Aristotle: Pleasure in the job puts perfection in the work.

“Saya amat menekankan keseronokan dalam bekerja kerana bagi saya suasana bekerja yang kondusif dan menyeronokkan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keberhasilan kerja yang cemerlang.

“Jadi, saya minta supaya JPA mengeluarkan satu Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) berkaitan dengan panduan melaksanakan keseronokan bekerja sektor awam, sebagai rujukan kepada semua Kementerian dan Jabatan,” jelasnya.

Tambah beliau, terdapat tiga lagi strategi yang digariskan dalam keberhasilan reformasi iaitu melaksanakan rasionalisasi dan penstrukturan semula agensi.

“Perkara ini penting supaya tidak berlaku lagi isu pertindihan fungsi antara Kementerian mahupun agensi. Sebagai quick win, kita akan laksanakan rasionalisasi pejabat perwakilan luar negeri,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Shamsul turut memaklumkan mulai 1 Januari 2025, pejabat perwakilan dan wakil agensi kerajaan di luar negara yang bertindih fungsi, tugas dan peranan akan ditempatkan di bawah bangunan yang sama. Langkah ini adalah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan.

“Bagi fasa pertama, fokus akan diberikan kepada agensi-agensi terpilih di bawah sektor ekonomi iaitu MITI, KPKM, MATRADE, MIDA dan Tourism Malaysia. Pada 5 September lalu, JPA telah mulakan mesyuarat pertama penyelarasan untuk memperincikan strategi pelaksanaan seterusnya.

“Selain itu penyemakan semula peraturan dan keistimewaan tertentu. Diketuai oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), saya minta agar reformasi terhadap kerenah birokrasi khususnya bagi mempermudahkan perniagaan dapat dipacu lagi demi melonjakkan produktiviti dan daya saing negara. Ini memerlukan kerjasama semua Kementerian dan Jabatan, dan ia akan dibentangkan secara bulanan kepada saya.

“Strategi seterusnya , adalah untuk mengoptimumkan sumber. Sumber-sumber sedia ada, baik dari segi sumber manusia, kewangan, infrastruktur dan sebagainya, perlu diguna secara optimum agar lebih berdaya saing dan menepati sasaran kos yang efisien. Selaras dengan itu, saya minta supaya audit perjawatan dan juga pengisian jawatan kritikal dilaksanakan oleh JPA.

“Perkara ini penting dalam membantu mengoptimumkan sumber perjawatan dan saraan selain turut menjimatkan kos kepada Kerajaan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Perhimpunan Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri Sabah 2024, pada Khamis.

Perhimpunan yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dihadiri seramai 4,500 anggota perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri daripada pelbagai Jabatan dan Agensi bermula seawal jam 7.30 pagi.

Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar bin Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli bin Isa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM), Datuk Indera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi serta Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah, Professor. Datuk Dr Kasim Mansor. — JABATAN PENERANGAN SABAH