WARISAN Tuntut Hak Kekal Rakyat Sabah Dan Sarawak, Bukan Boneka Kepada Malaya

WARISAN Tuntut Hak Kekal Rakyat Sabah Dan Sarawak, Bukan Boneka Kepada Malaya

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Calon kerusi Parlimen Sepanggar mewakili Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman menafikan dakwaan WARISAN hanya berminat kepada jawatan Perdana Menteri dan menolak Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, apa diperjuangkan WARISAN adalah menuntut hak kekal khasnya melibatkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jawatan TPM bukanlah jawatan pemegang kuasa Eksekutif dan hanya bersifat sementara. Jika Perdana Menteri bertukar, dasar berubah sudah tentu tiada jaminan jawatan tanpa kuasa itu kekal kepada Sabah…

“Malah jawatan itu hanya akan menjadikan pemimpin Sabah dijadikan boneka dan pak turut kepada sesiapa yang akan jadi Perdana Menteri.

“Jika tidak ikut, maka Perdana Menteri punya kuasa menukar serta memecat Timbalan Perdana Menteri,” katanya dalam siri ceramah di Kampung Cenderamata Likas, semalam.

Mohd Azis duduk bersama pengundi di Kampung Kalansanan Inanam di sini semalam…(Sumber Foto: Ihsan WARISAN)

Mohd Azis yang juga Ketua Penerangan WARISAN turut menyatakan pemimpin utama di Sabah harus mengetahui dan sedar berapa ramai Timbalan Perdana Menteri yang sudah dipecat serta dibuang termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah dipecat dari jawatan TPM.

“Rakyat pada 19 November ini (Sabtu) perlu menolak puppet (boneka) di Parlimen nanti sekali gus hanya tunduk kepada semua arahan Malaya…

“WARISAN menolak jawatan berkenaan kerana rakyat Sabah lebih memerlukan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), rakyat Sabah bukannya mahukan jawatan TPM…

“Presiden WARISAN sendiri pernah ditawarkan jawatan TPM ketika pemerintahan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin dan ketika kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Ismail Sabri. Kita tolak tawaran itu,” katanya.

Menurut Mohd Azis, apa yang dimahukan rakyat Sabah dan Sarawak ialah pelaksanaan sepenuhnya dengan segera dan tanpa bertangguh lagi MA63 yang dipersetujui sekian lama di antara Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia.