Perspektif MBS Bagi Senario PRU-15 Di Sabah

Perspektif MBS Bagi Senario PRU-15 Di Sabah

0
SHARE
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan...

KOTA KINABALU, SABAH – Berbaki dua hari sahaja lagi, Majlis Belia Sabah (MBS) menjangkakan peratus keluar pengundi muda di Sabah tidak mampu mencapai 50 peratus pada 19 November nanti.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan menjelaskan, hasil pemerhatian dan maklumbalas yang diterima oleh wakil pelbagai kelab dan persatuan belia di negeri itu memberi gambaran penyertaan pengundi muda yang rendah disebabkan tahap kefahaman politik yang minima selain kekangan kewangan untuk pulang ke parlimen masing-masing pada hari mengundi.

“Peratus keluar mengundi belia di Sabah dijangka kurang daripada 50 peratus berdasarkan faktor literasi politik yang rendah selain kekangan kewangan untuk pulang ke kawasan masing-masing untuk membuang undi,” Abqaree berkata.

Walau bagaimanapun, Abqaree berkata pengundi muda secara umumnya diketahui lebih cenderung memilih calon wakil rakyat yang mampu menawarkan penyelesaian kepada masalah pendapatan rendah, pemilikan rumah, dan kos sara hidup yang semakin meningkat selain mempunyai perwatakan mesra rakyat.

“Pengundi muda ketika ini banyak tertumpu kepada isu peluang menjana pendapatan, pemilikan rumah, dan kos sara hidup yang semakin meningkat…

“Pengundi muda yang mempunyai kesedaran politik lebih cenderung memilih wakil rakyat yang berperwatakan sederhana dan dekat dengan mereka,” Abqaree berkata.

Mengulas mengenai kekuatan pengundi muda dalam menentukan kemenangan parti atau calon yang bertanding di negeri itu, Abqaree menjelaskan pengundi muda dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun di Sabah adalah seramai 932,541 orang, mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negeri tersebut iaitu seramai 1,689,387 orang.

“Seramai 932,541 pengundi muda dalam lingkungan umur 18 hingga 39 tahun di Sabah akan menentukan kemenangan calon yang bertanding pada 19 November. Jumlah tersebut mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan daripada 1,689,387 orang pengundi di Sabah,” tambah Abqaree.

Untuk rekod, Sabah turut mencatatkan bilangan pengundi muda kelima tertinggi di seluruh Malaysia berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh SPR pada 9 Oktober.