Mangsa Dibuli Hingga Cacat Pendengaran Diberikan Pampasan RM600,000

Mangsa Dibuli Hingga Cacat Pendengaran Diberikan Pampasan RM600,000

0
SHARE
Mahkamah persekutuan
Sekadar gambar hiasan ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Tingkatan Lima di Terengganu diarah membayar ganti rugi RM616,634.20 kepada mangsa buli yang mengalami cacat pendengaran lapan tahun lalu.

Memetik sumber Harian Metro, kejadian itu berlaku di bilik asrama ketua pengawas Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) pada 26 April 2015 ketika plaintif berusia 14 tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sini diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara memutuskan bahawa sembilan pihak berkenaan bertanggungjawab dan cuai ke atas mangsa selaku plaintif yang kini berusia 22 tahun.

Keputusan yang disampaikan menerusi aplikasi Zoom itu semalam turut mendapati Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius (liabiliti ganti rugi) akibat kecuaian warden, PKHEM dan pengetua.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 2019 dikekalkan lalu keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Mei 2021 diketepikan.

Pada 29 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati semua defendan bertanggungjawab atas kecederaan itu dan membenarkan semua tuntutan ganti rugi termasuk ganti rugi am kecederaan, khas dan teladan.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keseluruhan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima defendan itu telah memukul, membuli dan menyerangnya.

Mangsa ketika kejadian adalah pelajar Tingkatan Dua sekolah tersebut yang mendakwa dipukul, dibuli dan diserang oleh lima pelajar senior sehingga mengakibatkan gegendang telinga kanannya pecah serta mengalami kecacatan kekal dan hilang pendengaran.

Beliau juga mengalami trauma teruk dan tekanan perasaan sehingga memaksanya menjalani rawatan psikiatri.

Akibat dipukul, ditendang dan ditampar oleh pelajar senior dalam kejadian buli itu, mangsa kini tidak boleh melakukan aktiviti air seumur hidup, selain mengalami beberapa kecederaan lain.

Malah, beliau yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015.