PUTATAN, SABAH – Sebanyak 3.2 tan sampah telah berjaya dikutip secara berperingkat membabitkan seramai lebih 60 orang sukarelawan bertempat di Pantai Goronggon yang dianjurkan Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA) dengan kerjasama syarikat Green Buddy, Tok Kelapa, Axtrada dan I-World Travels Sdn Bhd.
Aktiviti terbabit dilakukan bersempena Hari Bumi Sedunia yang disambut pada 22 April setiap tahun.
Presiden MASESA, Ainie Jamin berkata jumlah terbabit merupakan jumlah keseluruhan sampah terbabit yang dikutip pihaknya dalam program mengutip sampah dimana ia dilaksanakan pihaknya secara berperingkat bermula 3 April sehingga semalam.
Mengulas lanjut mengenai perincian jumlah sampah yang dikutip, Ainie berkata program terbabit dilaksanakan sebanyak empat kali sepanjang bulan April ini.
“Pada 3 April lepas, kita telah mengutip sebanyak 456.90 kilogram sampah dan seterusnya pada 10 April telah membuat kutipan samlah sebanyak 1072.59 kilogram…
“Kemudian pada 17 April, sebanyak 546.20 kilogram sampah dikutip dan kemuncak program semalam dimana kita telah mengutip sebanyak 1114.15 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, Ainie berkata semua pihak sama ada pihak kerajaan, persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam harus memainkan peranan dalam menangani masalah kebersihan alam sekitar khususnya membabitkan tempat awam.
“Sudah tiba masanya kita mengambil langkah yang lebih praktikal dalam menangani masalah berkaitan kebersihan alam sekitar.
“Bila saya bercakap tentang langkah yang lebih praktikal, saya bukan maksudkan tentang pelaksanaan gotong royong semata-mata tetapi semua pihak sama ada kerajaan, NGO atau mana-mana individu harus main peranan merangka strategi lebih berkesan dalam menangani masalah ini untuk satu tempoh masa yang lebih panjang.
“Namun dalam merangka strategi-strategi baharu ini, akar umbi yang paling penting untuk difikirkan semua pihak adalah bagaimana kita menangani dan menekankan tahap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan.
“Pihak-pihak ini harus memainkan peranan bagaimana mereka mahu menyampaikan dan menangani berkenaan isu, permasalahan dan kesan jika kebersihan alam sekitar tidak diatasi dari segala sudut,” katanya.