LAHAD DATU, SABAH – Pasukan Skuad Maya menerima dana berjumlah RM3.8 Juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Program Santuni Budi, Tautan Kasih di FELDA Wilayah Sahabat.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Generasi FELDA, NurulNaida Md. Noh dana tersebut sangat bermanfaat bagi penubuhan Skuad Maya di semua Rancangan FELDA seluruh Malaysia.
“Dana ini bakal digunakan untuk memberi latihan kepada ahli pasukan serta pembelian alat-alat seperti blood pressure monitor, glucometer, penimbang berat dan beberapa keperluan yang akan dibawa ke rumah-rumah peneroka bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Pada masa kini, Skuad Maya di Sahabat mempunyai ahli seramai 29 orang dan merupakan Wilayah FELDA yang kedua ditubuhkan selepas Gua Musang,” katanya ketika ditemui media selepas Program Santuni Budi, Tautan Kasih pada Khamis.
Mengenai pembukaan Pusat Dialisis baharu di FELDA Sahabat, Nurul berkata pusat tersebut akan memudahkan para peneroka bagi menerima rawatan tersebut.
“Tahun 2023, Perdana Menteri sudah mengumumkan penubuhan 12 pusat dialisis di mana Gua Musang dan Kelana Jaya telah siap dibina manakala enam buah lagi akan siap pada penghujung tahun ini dan 4 lagi pada tahun hadapan.”
“Namun begitu, pengumuman bagi pembukaan pusat dialisis di Wilayah Sahabat adalah yang terbaharu manakala lokasi akan ditetapkan kemudian,” ujar beliau.
Skuad Maya ditubuhkan dibawah Program Komuniti Sihat FELDA Madani bagi memperkasakan peneroka dalam penjagaan kendiri selain mewujudkan kumpulan sukarelawan kesihatan terlatih.
Pasukan itu juga secara tidak langsung akan menjadi ejen perubahan bagi membentuk amalan gaya hidup sihat dalam komuniti di rancangan.
Selain kehadiran seramai lebih 1,000 orang peneroka, masjlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek dan Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Bennety Mohd Dzul. — JABATAN PENERANGAN SABAH