Lelaki Dominasi Kes Kemalangan Kerja di Sabah, Majikan Diingatkan Bertanggungjawab

Lelaki Dominasi Kes Kemalangan Kerja di Sabah, Majikan Diingatkan Bertanggungjawab

0
SHARE

KOTA KINABALU: Golongan lelaki, termasuk pekerja asing khususnya dari Indonesia, mencatatkan jumlah tertinggi sebagai mangsa insiden berkaitan pekerjaan di Sabah, menurut data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Sehingga Mei 2026, sebanyak 226 kes kecederaan tempat kerja direkodkan, melibatkan lima kematian dan enam kes hilang upaya kekal, manakala majoriti 172 kes adalah kecederaan tidak kekal.

Dari segi demografi, 171 mangsa adalah lelaki berbanding 16 wanita. Mengikut kewarganegaraan, rakyat Malaysia mencatatkan 114 kes, diikuti Indonesia (63) dan Filipina (8).

Sebanyak 109 laporan penyakit pekerjaan turut direkodkan, dengan 44 kes disahkan berkaitan kerja.

Ketua Pengarah JKKP, Ir. Ts. Hazlina Yon berkata faktor tenaga kerja yang ramai dalam kalangan pekerja asing dan kurang berpendidikan meningkatkan risiko, namun menegaskan tanggungjawab keselamatan terletak sepenuhnya kepada majikan.

“Majikan wajib menyediakan latihan asas, prosedur kerja jelas serta memastikan pekerja memahami langkah keselamatan sebelum memulakan tugas,” katanya.

Beliau turut menegaskan majikan tidak boleh memberi tugasan tanpa latihan, penyeliaan dan peralatan perlindungan diri mencukupi, dengan tindakan penguatkuasaan telah menghasilkan denda RM409,000 dalam tempoh lima bulan pertama 2026.

Tambahnya, pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022 membolehkan pekerja menjauhkan diri daripada situasi tidak selamat, selain menekankan aspek baharu termasuk risiko psikososial dan teknologi.

Perkembangan itu dibentangkan pada program Revolusi Lanskap JKKP 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, yang turut memperkenalkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2030 (OSHMP30).