Nizam Gesa Permudahkan Permohonan 800 Liter Diesel Subsidi Kenderaan Limosin

Nizam Gesa Permudahkan Permohonan 800 Liter Diesel Subsidi Kenderaan Limosin

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berharap isu permohonan kuota 800 liter diesel subsidi bagi kenderaan limosin di Sabah dapat dikaji semula bagi memudahkan urusan pengusaha yang berdepan pelbagai kekangan birokrasi.

Beliau berkata, pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan kementerian berkaitan perlu mengambil perhatian terhadap isu berkenaan supaya proses permohonan dapat dipermudah demi menjamin kelangsungan industri pengangkutan serta ekonomi pengusaha tempatan.

Saya mengambil maklum berhubung laporan permohonan kuota 800 liter diesel subsidi bagi kenderaan limosin yang dihadapi dengan kekangan yang merumitkan. Saya berharap pihak LPKP dan kementerian berkaitan dapat melihat perkara ini untuk segera mengkaji semula serta mempermudah kerenah birokrasi yang membebankan pengusaha tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Teksi, Kereta Sewa dan Limosin Lapangan Terbang Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan di sebuah restoran di Kampung Air, di sini pada Ahad.

Menurut Nizam, mendengar sendiri pandangan dan keluhan pengamal industri merupakan antara keutamaan beliau bagi memastikan kelangsungan ekonomi rakyat terus diberi perhatian.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong cadangan supaya sistem permohonan permit teksi, kereta sewa dan limosin di Sabah dibuka semula secara lebih tersusun bagi merancakkan semula sektor pengangkutan awam serta meningkatkan pendapatan pemandu.

Beliau berkata, gabungan persatuan berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelaksanaan Program Teksi Malaysia MADANI yang disifatkan memberi manfaat besar kepada kebajikan pemandu di seluruh negara.

Pada masa sama, Nizam menggesa komuniti pemandu teksi dan pengangkutan konvensional supaya melihat perkembangan teknologi sebagai peluang, bukannya ancaman.

“Komuniti pemandu konvensional tidak seharusnya melihat perkhidmatan e-hailing sebagai ancaman. Sebaliknya mereka perlu segera mengadaptasi Revolusi 5.0 dengan meningkatkan kecekapan digital serta memanfaatkan aplikasi teknologi terkini untuk terus bersaing secara sihat dalam pasaran terbuka,” katanya.