Infrastruktur Dinilai Melalui Impak Kepada Rakyat, Bukan Bilangan Projek – Alexander

Infrastruktur Dinilai Melalui Impak Kepada Rakyat, Bukan Bilangan Projek – Alexander

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan kejayaan pembangunan infrastruktur negara tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah projek atau panjang jalan yang dibina, sebaliknya perlu dinilai melalui impaknya terhadap kehidupan rakyat.

Beliau berkata, infrastruktur bukan sekadar melibatkan pembinaan jalan raya, jambatan atau bangunan, tetapi menjadi pemangkin kepada peluang ekonomi, akses pendidikan dan kesihatan, keselamatan rakyat serta keyakinan pelabur terhadap negara.

“Kita tidak boleh lagi mengukur kejayaan berdasarkan berapa kilometer jalan yang dibina atau berapa banyak projek yang diluluskan.

Ukuran sebenar ialah sejauh mana kehidupan rakyat menjadi lebih baik. Adakah perjalanan mereka lebih selamat, kos logistik menjadi lebih rendah dan pelaburan baharu dapat diwujudkan. Itulah ukuran kejayaan sebenar sebuah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 di sini pada Ahad.

Menurut beliau, Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan strategik dalam pembangunan negara dan tidak seharusnya dilihat sebagai agenda pembangunan wilayah semata-mata.

Katanya, projek berskala besar seperti Lebuhraya Pan Borneo, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo bukan hanya membina jaringan fizikal, malah menghubungkan peluang ekonomi serta memperkukuhkan perpaduan negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta rakan strategik atas komitmen menjayakan pelbagai projek infrastruktur dalam tempoh dua tahun lalu.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa cabaran utama ketika ini bukan lagi kekurangan perancangan, tetapi memastikan pelaksanaan projek dapat dipercepatkan.

Katanya, isu seperti pengambilan tanah, pemindahan utiliti, penyelarasan antara agensi dan kelewatan membuat keputusan tidak boleh terus menjadi alasan sehingga menjejaskan penyampaian kepada rakyat.

“Rakyat tidak menilai kita berdasarkan alasan. Mereka menilai kita berdasarkan hasil,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua kementerian, jabatan, agensi teknikal, syarikat utiliti dan pihak berkepentingan meninggalkan budaya bekerja secara silo, sebaliknya mengukuhkan kolaborasi bagi mempercepatkan penyelesaian isu serta pelaksanaan projek.

Mengulas mengenai transformasi digital beliau berkata, penggunaan Building Information Modelling (BIM), kecerdasan buatan (AI), pendigitalan aset dan analitik data perlu diperkasakan dalam keseluruhan kitaran pembangunan infrastruktur negara.

Katanya lagi, National Construction Information Platform (NCIP) akan menjadi pusat data nasional yang menghimpunkan maklumat projek, aset, penyelenggaraan, pematuhan dan prestasi bagi membantu kerajaan membuat keputusan yang lebih pantas, tepat dan telus.

Selain itu, beliau berkata aplikasi MyJalan perlu dilihat bukan sekadar platform aduan, tetapi sebagai sumber data penting yang membantu kerajaan mengenal pasti keutamaan penyelenggaraan serta mengurus aset negara secara lebih proaktif.

Alexander turut menegaskan sektor pembinaan negara perlu beralih daripada budaya membina kepada budaya mengurus aset supaya infrastruktur yang dibangunkan terus memberi nilai jangka panjang.

Beliau juga mahu Sabah dan Sarawak muncul sebagai peneraju pembangunan infrastruktur pintar melalui pengukuhan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pembangunan bakat digital, TVET serta penggunaan teknologi baharu.

“Saya percaya Borneo mampu menjadi makmal terbaik negara bagi inovasi infrastruktur masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu deklarasi yang dimeterai pada program berkenaan diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas dengan sasaran prestasi yang boleh diukur, bukannya sekadar menjadi dokumen rasmi.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar semua agensi terlibat supaya kembali pada Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya akan datang dengan pencapaian nyata termasuk mempercepatkan pemindahan utiliti, memperluaskan penggunaan BIM, menyepadukan data aset melalui NCIP serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Bergerak lebih pantas, bertindak lebih berani, berkongsi lebih banyak dan menyelesaikan masalah sebelum ia menjadi krisis,” katanya.