KKR Tubuh Makmal MyBIM di Sabah, Sarawak, Tingkat Kecekapan Projek Infrastruktur

KKR Tubuh Makmal MyBIM di Sabah, Sarawak, Tingkat Kecekapan Projek Infrastruktur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menubuhkan Makmal MyBIM Malaysia di Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam pelaksanaan projek kerajaan, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian projek infrastruktur di kedua-dua negeri.

Inisiatif itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKR dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak sempena Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 yang berlangsung di Hotel Le Méridien, Kota Kinabalu.

Menurut KKR, penubuhan makmal berkenaan selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan memperluaskan penggunaan Building Information Modelling (BIM) dalam projek pembangunan kerajaan, sejajar pekeliling kerajaan yang sedang berkuat kuasa.

Makmal MyBIM Malaysia akan dilengkapi dengan perkakasan serta perisian BIM bagi menyokong koordinasi reka bentuk dan pembinaan secara bersepadu. Kemudahan itu boleh digunakan oleh pegawai teknikal JKR, kontraktor dan perunding yang terlibat dalam projek pembangunan infrastruktur kerajaan.

Teknologi pemodelan tiga dimensi (3D) yang digunakan membolehkan reka bentuk projek disimulasikan secara maya sebelum pembinaan fizikal dimulakan, sekali gus mengurangkan ralat reka bentuk, menjimatkan kos, mempercepat penyiapan projek dan meningkatkan kualiti penyampaian.

Pada masa sama, KKR melalui JKR dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memperluaskan rangkaian Makmal BIM di seluruh negara sebagai sebahagian daripada agenda memodenkan sektor pembinaan.

Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Julai menghimpunkan 140 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi dan pegawai teknikal KKR, JKR Malaysia, JKR Sabah, JKR Sarawak serta CIDB.

Bertemakan “Game Changer Pembinaan: Memperkasa Pendigitalan dalam Ekosistem Pembinaan Pintar”, program itu memberi tumpuan kepada transformasi sektor pembinaan melalui penggunaan teknologi seperti Industrial Building System (IBS) dan BIM bagi meningkatkan produktiviti, ketepatan pelaksanaan projek serta mengurangkan pembaziran bahan binaan.

Pengisian program turut merangkumi perkongsian amalan terbaik daripada projek mega nasional seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), selain pembentangan kajian kes mengenai cabaran pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuk fasa kritikal Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Selain pemeteraian MoU Makmal MyBIM Malaysia, majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) antara KKR, Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRUS) serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP).

Melalui deklarasi tersebut, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menggunakan standard data yang seragam bagi pengurusan aset jalan, sekali gus memperkukuh perancangan, pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur secara lebih sistematik, telus dan bersepadu.

KKR turut memaklumkan Sabah memiliki rangkaian jalan negeri sepanjang 20,323.402 kilometer, manakala 1,637.944 kilometer jalan Persekutuan di negeri itu berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Malaysia.

Menjelang 2030, kementerian itu menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus data aset jalan direkodkan mengikut Tatacara Umum Pengurusan Data Aset Jalan sebagai sebahagian daripada agenda Program MyJalan bagi mewujudkan ekosistem data jalan nasional yang lebih lengkap dan berstandard.