KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, kini secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sabah serta Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.
Ini sekali gus mengukuhkan peranannya dalam jentera utama parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Annuar turut dilaporkan memegang beberapa jawatan penting lain termasuk Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat serta Timbalan Pengerusi Lajnah Pilihan Raya dan Latihan Politik.
Pelantikan tersebut diserahkan sendiri oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, pada pagi kelmarin.
“Saya menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab untuk memperkasa perjuangan umat Islam dan bangsa Melayu dalam negara majmuk,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Annuar, yang menyertai PAS pada 10 Jun 2023 selepas keluar daripada UMNO, turut menzahirkan kesyukuran terhadap istiqamah parti itu dalam memperjuangkan dasar Islam untuk semua kaum.
“PAS kekal memimpin dengan semangat perpaduan dan kesatuan, asas kepada kestabilan politik negara,” ujarnya.
Pelantikan ini berlaku ketika Sabah bersiap sedia menghadapi PRN-17 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 6 Oktober lalu, seperti diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).






