KOTA KINABALU, SABAH – Seorang warganegara Filipina yang menetak mati seorang bayi dan ibunya menggunakan parang di Kinabatangan baru-baru ini dikatakan mengalami kemurungan sejak dua tahun yang lepas.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kemungkinan punca suspek mengamuk adalah kerana anaknya telah ditangkap pihak berkuasa pada sebelah pagi kejadian Selasa lalu.
“Suspek mempunyai keluarga sendiri yang tinggal bersebelahan rumah mangsa…
“Pada sebelah pagi hari insiden, salah seorang anaknya ditahan pihak berkuasa di atas sebab tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya kepada wartawan.
Tambah beliau, suspek tidak dipercayai di bawah pengaruh dadah atau alkohol dalam serangan 2 petang itu, namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek masih berada di hospital setelah mengalami kecederaan semasa ditangkap orang ramai,” katanya.
Terdahulu, seorang bayi berusia enam bulan dan ibunya, 35, maut ditetak lelaki berusia 60 tahun itu yang merupakan datuk saudara mereka.
Pasukan polis daerah berjaya mengesan suspek sedang bersembunyi di ladang kelapa sawit berhampiran lokasi kejadian di Kampung Ubi Sungai Pauh.
Telinga mangsa wanita dilaporkan sebagai hampir putus serta mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk.