KOTA KINABALU, SABAH – Jangan atas kecuaian oleh pihak-pihak yang berwajib di Putrajaya, rakyat negeri Sabah menjadi mangsa.
Ini dikatakan oleh Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga berpendapat tuntuan RM 62 bilion pewaris Sultan Sulu patut diberikan kepada Sabah.
Beliau mengulas keputusan penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis yang mengarah Malaysia membayar sejumlah RM62.59 bilion kepada waris tersebut.
“Wang itu jika diberikan kepada Sabah dapat membangun dan menjaga kedaulatan negeri ini…
“Pihak berwajib di peringkat persekutuan wajar mengambil iktibar kehilangan Pulau Batu Puteh yang jaraknya cuma 7.5 batu dari Johor dan 25 batu dari Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mendakwa bahawa sejak mencapai kemerdekaan pada 1963, tiada tindakan tegas daripada peringkat kerajaan persekutuan untuk menangani soal tuntutan negara Filipina terhadap negeri Sabah.
“Majoriti rakyat negeri ini khuatir dan tertanya-tanya jika kerajaan Malaysia dapat mengatasi isu pampasan lebih RM62 bilion itu.
“Adalah suatu malapetaka yang besar yang akan menimpa rakyat negeri Sabah sekiranya masalah ini tidak dapat ditangani…
“Dengan membayar lebih RM62 bilion kepada pewaris Sultan Sulu, adalah sama seperti negara Malaysia menjual hak-hak rakyat negeri Sabah kepada kuasa asing,” tambahnya.
Bekas Speaker Dewan Negara itu berkata rakyat Sabah lebih berhak untuk diberikan pampasan daripada mana-mana pihak termasuk pewaris Sultan Sulu.
“Dengan jumlah wang tersebut, rakyat Sabah akan dapat menggunakannya untuk membangunkan negeri ini di samping dapat menjaga dan mempertahankan kedaulatannya sebagai sebuah negara yang merdeka sejak tahun 1963,” katanya.
Pandikar turut menyeru supaya semua pemimpin politik khususnya di Sabah untuk meletakkan kepentingan rakyat melebihi segalanya.
“Sudah tiba masanya pemimpin di negeri ini tanpa mengira ideologi parti, mengekang ego masing-masing, mengelakkan pergeseran pendapat antara satu sama lain yang tidak berkesudahan demi untuk kepentingan dan kemakmuran Sabah dan rakyatnya.
“Perebutan kedudukan dan kuasa akan menguntungkan pihak lain yang mempunyai agenda politik pecah dan perintah,” tegasnya.