Ewon Saran Surau Dan Masjid Kawasan Kadamaian Tubuh Koperasi

Ewon Saran Surau Dan Masjid Kawasan Kadamaian Tubuh Koperasi

0
SHARE
Ewon
Ewon menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan dalam Majlis Berbuka Puasa Madani Kawasan N11 Kadamaian ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA BELUD, SABAH – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyarankan agar pihak surau, masjid dan penduduk kampung secara keseluruhannya terutamanya di kawasan Kadamaian menubuhkan koperasi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, ini penting untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk kampung.

“Di kawasan Kadamaian sahaja terdapat 19 masjid dan surau yang berpotensi untuk menubuhkan koperasi.

“Saya mahu melihat lebih banyak penyertaan Sabah dalam program keusahawanan dan koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Madani Kawasan N11 Kadamaian, di Masjid Kampung Tambulion, di sini, semalam.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai 10 agensi yang menyediakan pelbagai bantuan dan program untuk usahawan dan koperasi, antaranya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Saya berharap rakyat di negeri ini khususnya Kadamaian merebut peluang dalam bidang keusahawanan dengan menghubungi agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan dan skim-skim pinjaman yang disediakan,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Jawatankuasa Masjid dan Surau DUN Kadamaian dan kepada golongan asnaf Kampung Tambulion.

Majlis berbuka puasa adalah antara acara tahunan Ewon sejak beberapa tahun lalu setiap kali bulan Ramadan.