BEAUFORT, SABAH – Satu program SMART Solat bagi memantapkan kepimpinan kampung dalam soal fardu yang sempurna telah dianjurkan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
“Ini merupakan program pertama diadakan bagi tahun 2022 dan dijangka akan berterusan dengan tujuan memperkasakan ilmu dalam solat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program SMART Solat berkenaan di Masjid Darul Ikwan di Kampung Suasa di sini, pada Isnin.

Menurutnya, seramai 160 peserta mengikuti program ini yang terdiri daripada Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Desa Lestari, Kg. Suasa.
“Ia adalah anjuran kerjasama di antara Biro Agama N.34 Lumadan dengan Pertubuhan Islam seluruh Sabah (USIA) Beaufort, Biro Agama, Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) Beaufort,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, beliau selaku Ketua Bahagian USIA Beaufort terpanggil menunaikan tanggungjawab dalam usaha memastikan kepimpinan di peringkat kawasan masing-masing menjalankan amanah dan kewajipan bersama.
“Dalam soal solat, sebelum ini mereka hanya menjadi makmum namun, setelah menjadi pemimpin, mereka perlu menjadi imam di masjid dan surau.
“Tugas mereka ialah memandikan jenazah, membaca khutbah dan membimbing masyarakat meningkatkan ilmu agama,” ujarnya.
“Saya yakin semua kita mengambil inisiatif untuk terus belajar memperbaiki diri sendiri,” katanya lagi.